fb fb fb fb fb

TPR tunggu arahan lanjut AGC berhubung prosiding terhadap Presiden Warisan

Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 7 Oktober - Pasukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sedang menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung prosiding mahkamah terhadap Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Demikian jawapan TPR Mohd Fairuz Johari yang juga merupakan pegawai pengendali kes pelajar Tingkatan 1, Inkues Kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, ketika Koroner Amir Shah Amir Hassan meminta status terkini notis surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Datuk Shafie, pada 22 September lalu.

Penyerahan notis tersebut susulan kenyataan Mohd Shafie berhubung prosiding inkues tersebut.

Pada 2 Oktober lalu, Tan Sri Mohd Dusuki mengesahkan telah menerima surat jawapan bertulis daripada Datuk Shafie yang diterima pihak AGC, pada 29 September.

AGC sebelum ini menyatakan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah, selepas semakan terhadap perkara tersebut selesai dilakukan.

Notis surat tunjuk sebab terhadap Datuk Shafie itu susulan kenyataannya, semasa program 'Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan' pada 20 September, di Sandakan, susulan dakwaannya yang mempersoalkan tempoh panjang prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina.

Notis tersebut turut meminta beliau memberikan maklum balas dalam tempoh tujuh hari.

Sementara itu, dalam sesi prosiding inkues pada sesi petang, Mahkamah Koroner sekali lagi mendengar keterangan Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Kualiti dan Penyelidikan, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon.

Beliau memaklumkan, kesan darah ditemukan pada dua helaian diari dengan tulisan tangan Allahyarham Zara Qairina, sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang remaja berkenaan.

Prosiding inkues akan bersambung esok dengan keterangan saksi kanak-kanak kelapan menyambung keterangannya.

Pasukan pengendali kes turut memaklumkan bahawa saksi setersunya dijangka ialah Pelajar B, salah seorang pesalah kanak-kanak yang sebelum ini dituduh mencela Allahyarham Zara Qairina.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI