ALOR SETAR, 13 Jun- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui projek Dana Penyelidikan Strategik (SRF) menyasarkan penghasilan dua lagi varieti padi baharu negara pada penghujung tahun 2026 dengan menggunakan titisan padi termaju.
Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, kementerian itu berazam memenuhi permintaan keterjaminan makanan negara melalui penyelidikan dan pembangunan teknologi tempatan.
"Dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan universiti-universiti terkemuka negara iaitu Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), MOSTI dan Agensi Nuklear Malaysia terlibat secara aktif dalam kajian pembangunan varieti padi baharu MOSTI yang tahan kepada perubahan cuaca yang tidak menentu hatta hujan, banjir, kemarau," katanya dalam Program Promosi Bersasar (TPS) Siri 2.0 Zon Utara dan Pelancaran Galeri Padi Nuklear di Muzim Padi Gunung Keriang di sini.
Menurut beliau Agensi Nuklear Malaysia sebagai salah satu institusi penyelidikan dan pembangunan MOSTI dalam teknologi nuklear terus menerus mendorong usaha inovasi dan pengkomersialan yang memberikan faedah yang luas kepada negara.
Usaha berkenaan tidak hanya meningkatkan nisbah kecukupan kendiri Malaysia tetapi juga secara signifikan meningkatkan taraf kehidupan pesawah, selaras dengan dasar sekuriti makanan negara.
Selain itu ikhtiar Agensi Nuklear Malaysia dalam membangunkan penyelidikan dalam teknologi nuklear dan teknologi dapat mengurangkan pergantungan kepada teknologi luar dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Program selama dua hari berakhir esok itu dirasmikan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
TPS merupakan salah satu platform berterusan Nuklear Malaysia dalam rangka promosi pengkomersialan produk, perkhidmatan dan latihan teknologi nuklear yang aman dan selamat kepada rakyat dan industri.
Dengan adanya program TPS ini diharapkan dapat meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi nuklear dalam sektor-sektor yang berpotensi serta meningkatkan minat pelajar dalam pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Melalui program itu, hasil penyelidikan dan pembangunan daripada para penyelidik Nuklear Malaysia dapat diketengahkan merentasi pelbagai bidang seperti aplikasi teknologi nuklear dalam sektor agropertanian, teknologi pemprosesan sinaran, perindustrian, alam sekitar, perubatan, kesihatan dan keselamatan sinaran, kejuruteraan nuklear dan latihan.