fb fb fb fb fb

Pembukaan UTS kampus Mukah berpotensi sokong industri maritim Sarawak

Kunjungan hormat daripada delegasi UTS ke atas Tun Wan Junaidi di Astana Negeri

KUCHING, 13 Jun- Pewujudan kampus baru Universiti Teknologi Sarawak, UTS di Mukah bakal menjadi pemangkin industri maritim di Sarawak.

Naib Chanselornya, Prof Datuk Dr. Khairudin Abdul Hamid berkata dengan kemampuan universiti itu menghasilkan lebih 4,000 graduan sejak ditubuhkan pada 2013 beliau optimis UTS berupaya menyokong industri maritim di Sarawak.

Oleh itu pembukaan kampus baharu di Mukah dilihat penting dalam membangunkan kawasan pesisir pantai terpanjang di Malaysia.

"Daripada segi pasaran kita amat berbangga kerana bukan saja diambil bekerja di industri tempatan tapi juga luar Sarawak,"katanya.

Sementara itu, bagi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee pula peluasan sayap baru kampus universiti terbabit akan berupaya merancakkan sektor pendidikan di kawasan luar bandar.

Kedua-duanya ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri hari ini.

Kunjungan itu bagi menyerahkan watikah perlantikan Tun Wan Junaidi sebagai Canselor UTC yang baharu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE