fb fb fb fb fb

MOSTI giat laksana program inovasi sains ke pedalaman, luar bandar guna pendekatan informal

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) giat merangka dan melaksana pelbagai program inovasi sains untuk segenap lapisan Keluarga Malaysia termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi melaksanakan program itu, MOSTI memberi fokus terhadap pendekatan secara informal.

Jelas beliau, Pusat Sains Negara (PSN) telah diberi mandat sebagai Pusat Kecemerlangan Pembudayaan Sains Teknologi dan Inovasi (STI) Negara yang berperanan sebagai agen peneraju dalam melaksana pelbagai program pembudayaan STI .

Ia bagi memupuk minat dan kefahaman masyarakat terhadap bidang itu hingga ke akar umbi.

"Setiap tahun PSN menyasarkan 60 lokasi di seluruh Malaysia melibatkan lebih 100,000 penyertaan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial dan kekangan geografi.

Sebanyak lima lokasi juga telah dikenalpasti untuk pelaksanaannya di Sarawak," katanya ketika menjawab pertanyaan Wakil Sabuti, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat.

(Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba)

Tambah Dr. Adham, PSN juga telah melaksanakan beberapa siri program jelajah yang dinamakan ‘Singgah Sains’.

"Program ini dirangka khusus bagi memenuhi keperluan masyarakat luar bandar dan pedalaman termasuk orang asli dan dilaksana di lokasi terpilih seluruh Malaysia.

Menerusi program ini, masyarakat luar bandar juga akan dapat merasai pengalaman yang menyeronokkan dalam menerokai sains menerusi bahan pameran sains interaktif dengan pelbagai aktiviti sains secara praktikal," katanya lagi.

Mengulas lanjut, MOSTI telah mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri Sarawak berhubung penerapan dan pembudayaan STI.

Hasil perjumpaan tersebut, beberapa projek usahasama di Sarawak akan dilaksanakan.

Jelas beliau, MOSTI juga bercadang membuka lapan lagi projek Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Projek itu merupakan sebuah hab reka cipta, teknologi dan inovasi yang menawarkan pembelajaran, latihan dan bantuan teknikal.

Media Baharu