fb fb fb fb fb

Monsun Timur Laut dijangka berlaku lebih awal bermula Isnin ini

KUALA LUMPUR, 4 November- Malaysia akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada Isnin, 7 November dan berterusan sehingga Mac depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan sepanjang tempoh itu, empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku.

"Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat," menurut kenyataan itu.

(Foto hiasan)

Sementara itu, MetMalaysia turut menjangkakan kejadian air pasang besar berlaku pada 6 hingga 11 November dan 22 hingga 27 November.

Ia disusuli fenomena pada 7 hingga 12 Disember dan 22 hingga 26 Disember serta 6 hingga 10 Januari 2023 dan 21 hingga 25 Januari 2023.

Semasa MTL, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

Media Baharu