KUALA LUMPUR, 10 Mei - Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 14 Mei 2022 dan akan berterusan sehingga pertengahan September 2022.
Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.
Sehubungan dengan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain.
Keadaan ini menyebabkan taburan hujan yang rendah.
Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung
dan barat Sabah pada awal pagi.
(Kenyataan yang dikeluarkan MET Malaysia)
"Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
"Dalam tempoh Monsun Barat Daya, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranyavpembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya semasa Ogos hingga Oktober," menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullahd dalam satu kenyataan.
Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan
pencemaran alam sekitar.
Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.
Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.