fb fb fb fb fb

JAKIM cadang MQBM sebagai rujukan utama dalam pengajian al-Quran sekolah Pendidikan Khas

PUTRAJAYA, 10 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus komited dalam memastikan Golongan Kurang Upaya (OKU) menguasai dan mendalami kitab Suci al-quran.

Salah satunya Mashaf al-Quran Braille Malaysia (MQBM) yang diperkenalkan khusus buat golongan cacat penglihatan di negara ini.

MQBM memenuhi keperluan 25,000 orang OKU cacat penglihatan di Malaysia untuk mendalami al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjadikan MQBM sebagai rujukan utama dalam pengajian al-Quran di sekolah Pendidikan Khas di seluruh negara.

(Idris mahu MQBM diperluas/FOTO BERNAMA)

"Untuk KPM nanti kita akan minta KPM dan KPM yang akan keluarkan bajet untuk sekolah-sekolah nanti. Bergantung kepada tindakan yang dibuat oleh pihak KPM nanti, kita akan bawa perkara ini, cadangan kepada mereka dan kita harapkan cadangan-cadangan baik dapat diterima oleh mereka.

"Cadangan yang kita buat nanti supaya perkara ini akan dapat diguna pakai terutamanya di sekolah pendidikan khas dan mungkin mereka akan dapat membelinya untuk digunakan kepada para pelajar," menurut Idris di sini.

Pertemuan dan perbincangan bersama pihak KPM khususnya Bahagian Pendidikan Khas dan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan akan diadakan dalam masa terdekat.

Idris turut menyuarakan harapan agar agensi yang terlibat khususnya JAKIM dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS) dapat mengorak langkah secara agresif bagi memperkenalkan mashaf tersebut dengan lebih meluas.

Sementara itu, PERTIS kini mempunyai 15 mesin percetakan Al-Quran braille dan akan ditambah lagi 10 buah oleh JAKIM dengan angaran satu mesin bernilai RM35,000 dalam masa terdekat.

Menurut Idris penerbitan Al-Quran braille ini juga membolehkan golongan OKU penglihatan membaca al-Quran dengan menepati 'dhabt' dan 'rasm' selari keperluan mashaf al-Quran Rasm Uthmani.

Kesukaran yang berlaku sebelum ini kerana perbezaan penulisan al-Quran Braille versi lama tidak menepati Rasm Uthmani yang diguna pakai dalam al-Quran biasa di Malaysia, contohnya perbezaan pada penandaan waqaf dan juga peralihan juzuk.

Media Baharu