fb fb fb fb fb

Mayat lelaki lemas terjatuh Jambatan Songsang ditemukan

TEMERLOH, 10 Mei- Selepas tiga hari, mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Songsang, Sungai Semantan, Temerloh, ditemukan pada jam 9 pagi tadi.

Mayat, Mohamad Hanizam Md Khalib, 30 tahun, ditemui oleh orang awam, berhampiran sebuah sangkar ikan, pada jarak satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan sejak Ahad lalu, kini ditamatkan pada jam 9.30 pagi pada tadi.

8 Mei lalu, mangsa yang dipercayai mengalami masalah mental dilaporkan terjatuh dari Jambatan Songsang ke dalam Sungai Semantan, berdasarkan penemuan motosikal dan selipar miliknya di tempat kejadian.

Operasi SAR mula diaktifkan pada jam 11 pagi Ahad lalu, melibatkan seorang pegawai dan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, sambil dibantu Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin dan Pasukan K9.

Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

 


(Mangsa yang dipercayai mengalami masalah mental dilaporkan terjatuh dari Jambatan Songsang ke dalam Sungai Semantan)

Media Baharu