
RANTAU, 1 Ogos – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja serta Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Laos minggu depan bagi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (Joint Commission Meeting) Malaysia dengan kedua-dua negara.
- Mohamad batal hadir mesyuarat tergempar negara Arab dan Islam di Amman pada 5 Ogos berhubung Palestin kerana komitmen rasmi dalam negara.
- Malaysia akan diwakili oleh Wakil Tetap ke PBB yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar.
- Wisma Putra berdepan jadual padat susulan geopolitik dunia yang tidak menentu, memerlukan banyak perundingan termasuk mesyuarat tergempar.
- Banyak lawatan rasmi dari luar negara dan Mohamad turut mempunyai komitmen rasmi luar negara.
Datuk Seri Mohamad berkata, Malaysia menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Kemboja tahun ini, dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Kemboja dijadual mengadakan lawatan rasmi pada Selasa.
“Minggu depan pula menerima kedatangan Timbalan Perdana Menteri Laos yang juga Menteri Luar. Malaysia pada tahun ini menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Joint Commission ataupun Suruhanjaya Bersama,” kata beliau kepada pemberita selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, di sini.
Mohamad berkata beliau pada asalnya dijadual menghadiri mesyuarat tergempar negara-negara Arab dan Islam di Amman, Jordan pada 5 Ogos berhubung perkembangan di Palestin, namun tidak dapat menghadirinya kerana komitmen rasmi di dalam negara.
Beliau berkata Malaysia akan diwakili Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar.
“Beliau memang arif dan mahir tentang isu Palestin ini kerana saya tidak sempat untuk ke sana,” katanya.
Mohamad berkata Wisma Putra ketika ini berdepan jadual yang padat susulan perkembangan geopolitik dunia yang tidak menentu.
“Kerja di Wisma Putra dalam keadaan geopolitik dunia yang tak menentu memerlukan banyak perundingan, termasuk mesyuarat yang tidak dijadualkan dan mesyuarat tergempar, ” kata beliau.
“Banyak lawatan rasmi dari luar negara, selain saya sendiri perlu ke luar negara,” kata beliau – BERNAMA