NILAI, 11 September- Modul Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) bagi pelajar Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) di 22 Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) akan dilaksanakan serta-merta.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ia usaha serius memerangi rasuah dengan memupuk prinsip tidak bertoleransi terhadap sebarang perlakuan rasuah terutama dalam kalangan pelajar dan graduan.
"Pelajar yang bertanggungjawab kita akan sediakan peluang pekerjaan dan kita sediakan kepada mereka yang boleh bekerja untuk membangunkan negara secara ikhlas, jujur dan beramanah agar negara kita ini diterima baik oleh seluruh dunia.
Jika sebut nama rakyat Malaysia, ini adalah golongan yang benci rasuah dan benci salah guna kuasa. Ini usaha yang kita akan buat secara serius," kata Faizal dalam sidang media selepas Majlis Penutup ILKBS Career Fest Zon Tengah, di sini.
(Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata demikian dalam
sidang media di Nilai)
Pada program itu, 1,200 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 23 rakan kerjasama strategik IKLBS daripada pelbagai sektor kerjaya khas kepada belia.