fb fb fb fb fb

Helikopter hilang: Operasi SAR ditangguhkan susulan cuaca tidak menentu

(Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri bercakap pada sidang media mengenai operasi
SAR susulan insiden helikopter hilang di Balai Polis Bidor hari ini)

BIDOR, 11 September - Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) susulan insiden helikopter hilang di Bidor ditangguhkan hari ini ekoran keadaan cuaca tidak menentu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi SAR akan bersambung semula pukul 8 pagi esok di kawasan sempadan Hilir Perak dengan Bilik Gerakan Operasi dibuka di Balai Polis Bidor.

"Kita sekarang hanya tumpukan pada koordinat yang diberikan di Hutan Simpan Chikus dan juga di kawasan yang diberikan maklumat oleh orang ramai tadi di Kampung Kenangan itu sahaja, esok baru boleh kita 'check' (periksa) balik untuk kita 'narrow down' (kecilkan) kawasan pencarian kita," kata beliau kepada pemberita pada sidang media di Balai Polis Bidor, di sini hari ini.

(Operasi SAR akan bersambung semula pukul 8 pagi esok di kawasan sempadan Hilir Perak dengan
Bilik Gerakan Operasi dibuka di Balai Polis Bidor)

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu sidang media memaklumkan sebuah helikopter terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), sebelum dilaporkan hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

Pesawat berkenaan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, pada pukul 11.37 pagi.

Pada pukul 5.40 petang hari sama, Pusat Kawalan Daerah (DCC) menerima panggilan dari orang awam memaklumkan ada terdengar bunyi kuat helikopter terbang rendah di kawasan belakang rumah di Kampung Kenangan, Jalan Bidor.

Media Baharu