(Foto fail)
KUALA LUMPUR, 22 Mei- Model dwirangkaian mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan Digital Nasional Berhad (DNB).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Ni Ching berkata, dua rangkaian 5G di Malaysia kelak akan dibangunkan dan diurus tadbir oleh dua entiti.
"Entiti A meneruskan pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB melangkaui 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk; manakala entiti B membangunkan rangkaian 5G kedua setelah mendapat penguntukan spektrum 5G daripada SKMM.
"Ini bermakna rangkaian 5G sedia ada yang dibangunkan oleh DNB masih kekal dan menjadi salah satu daripada dua rangkaian 5G negara. Kontrak-kontrak sedia ada yang telah ditandatangani DNB juga masih diteruskan.
"Bagaimanapun, sebahagian daripada kontrak tersebut mungkin perlu dirunding semula bagi memastikan terma-terma dan syarat-syarat yang termaktub adalah selari dengan peralihan dasar pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia," kata Teo ketika menjawab pertanyaan wakil Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini.
Tambahnya komposisi bagi entiti A dan entiti B masih belum ditentukan.
Fokus utama ketika ini ialah mencapai 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.
Proses perbincangan dan rundingan dalam penentuan entiti A dan entiti B akan berjalan serentak.
(Teo Ni Ching ketika menjawab pertanyaan wakil Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh semasa sesi
soal jawab di Dewan Rakyat)
Menyentuh mengenai Program eUsahawan yang disediakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berupaya membina budaya lebih inklusif ke arah penggunaan teknologi digital.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata program itu juga menyokong pembangunan kemahiran keusahawanan digital terutama dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang.
"Program eUsahawan menyediakan pelbagai latihan peningkatan kemahiran digital yang dilaksanakan secara dalam talian dan fizikal kepada usahawan dan peniaga kecil tempatan di seluruh Malaysia. Modul program itu juga telah diintegrasi dalam silibus mata pelajaran di lebih daripada 35 institusi pengajian tinggi dan TVET serta menjadi sumber pembelajaran di lebih 550 pusat pengajian seluruh Malaysia," beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.
Menurut Teo MDEC menawarkan beberapa modul latihan program eUsahawan sejak 2015 seperti eUsahawan Fundamental berkaitan latihan asas keusahawan digital, merangkumi pengurusan perniagaan, keusahawanan, pendigitalan dan pemasaran digital.
Mulai tahun latihan eUsahawan Modular diperkenalkan bagi menawarkan latihan terperinci berkaitan pengurusan, pemasaran dan penggunaan teknologi.
Termasuk Strategi Model Perniagaan, Pembangunan Kandungan Kreatif, Penggunaan Platform Media Sosial dan Pengurusan Platform e-Dagang.