fb fb fb fb fb

Jenazah Ag Askandar dibawa turun ke Kathmandu pada Selasa - Armizan

Foto JPM

PUTRAJAYA, 22 Mei- Jenazah warganegara Malaysia yang terkorban semasa pendakian Gunung Everest, Leftenan Kolonel (PA) Ag Askandar dijangka akan dibawa turun dari 'Base Camp' ke Kathmandu pada Selasa.

Perkara berkenaan disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, hari ini menerusi satu kenyataan.

Armizan sebelum itu telah mengadakan sidang video bersama Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negara, Datuk Mohammad Ali Selamat dan pegawai Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Mohd Fazle Abu Hasan.

Sidang video itu membincangkan tentang perkembangan terkini berhubung prosedur membawa pulang jenazah ke tanah air.

"Terkini, saya dimaklumkan bahawa pasukan sherpa dijangka membawa turun jenazah dari 'Camp 4' ke 'Base Camp' pada pukul 2.00 petang (waktu tempatan) hari ini. Pihak kedutaan juga memaklumkan bahawa jenazah Lt. Kol (PA) Ag Askandar dijangka akan dibawa turun dari 'Base Camp' ke Kathmandu pada keesokan hari apabila keadaan cuaca mengizinkan," kata kenyataan itu.


(Foto JPM)

Tambah Armizan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut menyatakan komitmen dalam membantu urusan tersebut sekali gus menunaikan hasrat keluarga untuk mengebumikan jenazah di kampung halamannya di Papar, Sabah.

"Ketua Menteri Sabah memberikan komitmen bahawa Kerajaan Negeri akan membantu menampung kos tambahan yang diperlukan di luar tanggungan insurans bagi pengurusan jenazah Allahyarham Lt. Kol (PA) Ag Askandar untuk memastikan jenazah dapat dikebumikan di kampung halaman di Papar, Sabah sebagaimana hasrat ahli keluarga.

Begitu juga Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) telah menyalurkan sumbangan untuk tujuan menambah tanggungan kos pengurusan," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan, boleh berbuat demikian melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Media Baharu