fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Awang Askandar

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, yang telah kembal ke rahmatullah ketika menawan gunung tertinggi itu, baru-baru ini.

Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga pendaki ME 2023.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham, yang juga merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut hantaran itu.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan semoga seorang lagi pendaki ME 2023, Muhammad Hawari Hashim, seorang orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang dilaporkan hilang pada Jumaat lepas, dapat dijumpai dan diselamatkan dengan segera.

(Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda
berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga pendaki ME 2023)

Susulan daripada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menasihati para pendaki gunung negara agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan serta mengambil langkah sewajarnya setiap kali melakukan misi pendakian gunung.

Semua pihak dan jabatan yang berkaitan turut diseru agar menyediakan satu garis panduan dalam aspek keselamatan sukan mendaki dan ia dikuatkuasakan kepada pendaki-pendaki Malaysia demi keselamatan mereka.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan Malaysia sewajarnya mempunyai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terlatih dan didedahkan dengan operasi SAR di kawasan berisiko tinggi dan ekstrim seperti di gunung Everest.

"Pasukan ini boleh diaturgerakkan ke lokasi bila perlu dengan segera bagi melakukan operasi SAR," tambah hantaran tersebut.

Seri Paduka Baginda juga berpandangan negara perlu mempunyai pakar perubatan yang berkaitan dengan aktiviti pendakian gunung dan setiap misi pendakian mempunyai pasukan perubatan sendiri.

"Tugas pasukan perubatan itu penting untuk memeriksa dan memastikan tahap kesihatan para pendaki setiap hari serta memberi rawatan kecemasan kepada pendaki," menurut hantaran itu.

Media Baharu