fb fb fb fb fb

MITI sasar sekurang-kurangnya 10 peratus pertumbuhan pelaburan

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 29 Februari- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan pertumbuhan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 peratus dapat dicapai dalam jumlah pelaburan diluluskan tahun ini.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, angka sasaran itu bersandarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan kerajaan tahun ini, iaitu pada empat hingga lima peratus.

"Bagi saya, ia perlu minimum dua kali ganda daripada sasaran pertumbuhan KDNK, jadi sekurang-kurangnya lapan hingga sepuluh peratus. Kemudian kita perlu melihat kepada kitaran industri. Bagi elektrik dan elektronik, ia dalam kitaran menaik.

"Namun terdapat lebihan bekalan pada industri-industri lain yang memberi impak dan kita perlu perhalusi sasaran, namun sasaran minimum ialah lapan hinnga sepuluh peratus pertumbuhan," katanya majlis pengumuman prestasi tahunan pelaburan Malaysia dalam pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama bagi 2023, di ibu pejabat MIDA, di ibu negara.

Sementara itu, MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga sedang berbincang dengan sebuah institusi penting di China untuk mengukuhkan pelaburan asing dua hala.

Kedua-dua pihak menyasarkan untuk memeterai perjanjian kerjasama yang menumpukan kepada pengukuhan penggalakan pelaburan .

Menurutnya perkembangan itu menunjukkan peralihan tumpuan syarikat China ke Malaysia berikutan lokasi strategik negara dengan persekitaran perniagaan yang kondusif.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI