KAKI BUKIT, 3 April- Misteri kehilangan seorang lelaki sejak 30 Mac lalu akhirnya terungkai apabila dia ditemui mati di sungai Gua Ikan, Kaki Bukit berhampiran pusat rekreasi Gua Kelam.
Mayat Law Jiann Biau, 52, ditemui pukul 7.44 malam tadi setelah operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan pegawai dan anggota Balai Polis Kaki Bukit, Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar dan komuniti Kaki Bukit digerakkan.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas, pada 31 Mac pukul 12.09 tengahari, isteri mangsa membuat laporan kehilangan mangsa di Balai Polis Kaki Bukit setelah suaminya tidak pulang ke rumah sejak 30 Mac.
"Gerakan dilancarkan sekitar sungai di Pekan Kaki Bukit, sekitar sungai Gua Ikan, Gua Kelam dan di kawasan hutan sekitar pekan Kaki Bukit. Pada pukul 9.44 malam tadi, anggota bertugas di Balai Polis Kaki Bukit telah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki Cina penduduk tempatan yang terlibat dalam gerakan mencari memaklumkan telah menjumpai satu mayat terapung di dalam sungai Gua Ikan," kata Saifudin kepada pemberita RTM.
(Anggota BBP Padang Besar giat mengeluarkan mayat mangsa dari sungai Gua Ikan di Gua Kelam)
Mayat mangsa dibawa ke daratan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar kira-kira pukul 10.10 malam dan telah disahkan oleh ahli keluarga mangsa.
Hasil pemeriksaan fizikal ke atas mayat mangsa juga tidak menemukan sebarang tanda-tanda wujudnya perlakuan jenayah.
Mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat.