fb fb fb fb fb

Misi pelaburan Perak ke China berjaya- MB

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Misi promosi pelaburan kerajaan negeri Perak ke China minggu lalu berjaya mencapai matlamat apabila menerima pelaburan baharu berjumlah RM34 bilion.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, misi tersebut menyaksikan kejayaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat automotif terkemuka China, Geely melibatkan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim bernilai RM32 bilion.

Selain itu, delegasi juga berjaya mengukuhkan lagi kerjasama dengan syarikat pelabur China, Zhejiang Sinopont Technology, melibatkan pelaburan bernilai RM2 bilion.

"Malah misi promosi pelaburan dari 15 hingga 21 Oktober lalu telah menyaksikan kejayaan yang amat signifikan antaranya ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPK) telah menandatangani MOU dgn sebuah syarikat inkubasi dan inovasi keusahawan terkemuka China iaitu Shanghai TusStar Business Incubator bagi menjadikan Perak sebagai destinasi ideal untuk usahawan inovatif dengan potensi pertumbuhan kukuh,"katanya.

Tambahnya, Persekitaran ekonomi yang positif sepanjang tahun lalu turut menyumbang kepada pasaran pekerjaan dan yakin momentum ini dapat dilonjakkan lagi susulan pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Invest Series – Edisi Perak anjuran Malaysian Investment Development Authority (MIDA) di Kuala Lumpur.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE