fb fb fb fb fb

Misi kemanusiaan ke Gaza bukan wayang – Dr. Zulkifli Hassan

Foto BERNAMA

BANGI, 13 Oktober– Penyertaan aktivis dan sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan di Gaza bukan sekadar lakonan atau gimik, sebaliknya usaha tulen bagi mengetengahkan isu jenayah kemanusiaan yang sedang berlaku di wilayah bergolak itu.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan.

Menurut beliau, misi tersebut bukan sekadar menghantar bantuan fizikal, tetapi turut membawa mesej besar kepada masyarakat dunia untuk memecahkan keheningan dan kealpaan global terhadap penindasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas terhadap segelintir individu yang mendakwa misi tersebut hanyalah gimik politik.

“Ini bukan misi untuk bermegah atau berwayang. Ini misi ‘break the silence’ – untuk memberitahu dunia bahawa di Gaza sedang berlaku jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, penghapusan etnik dan pencerobohan haram,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Ramah Mesra & Makan Tengah Hari Bersama Para Petugas Kemanusiaan di Hotel Tenera, Bangi hari ini.

Menurut beliau, lebih 500 aktivis dari seluruh dunia termasuk Eropah, Afrika, Asia Barat dan Nusantara telah menyertai misi flotila kemanusiaan global yang berlayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti masyarakat sivil menentang kezaliman.

“Mereka bukan pergi bercuti ke Paris atau Hollywood. Mereka ke Gaza — tempat di mana berlaku genosid. Mereka meninggalkan keluarga, anak, dan ibu bapa demi perjuangan kemanusiaan ini. Mereka menaiki kapal kecil, bukan kapal mewah. Itulah tanda keikhlasan,” jelasnya.

Dalam majlis itu, lebih 50 petugas dan sukarelawan pelbagai organisasi kemanusiaan dirai sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka yang sering bekerja di belakang tabir bagi menyokong operasi misi kemanusiaan.

Dr. Zulkifli turut menyatakan kekagumannya terhadap komitmen berterusan para aktivis yang terus aktif dalam advokasi isu Palestin sebaik pulang ke tanah air.

“Walaupun baru pulang, mereka terus bergerak. Ini bukti perjuangan belum selesai. Kita akan teruskan usaha sehingga melihat Palestin benar-benar merdeka,” katanya.

Majlis tersebut turut menjadi platform untuk membincangkan langkah dan perancangan masa depan bagi memperkukuh misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza.

SITI NOORAIN ABDULLAH