PUTRAJAYA, 13 Oktober - Kira-kira 6,000 murid sekolah bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara dijangkiti virus influenza.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata beberapa sekolah turut diarahkan menutup sementara operasi masing-masing, susulan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, jumlah sebenar sekolah yang ditutup masih belum dapat disahkan.
Menurut beliau KPM kini berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memantau situasi semasa penularan jangkitan tersebut.
Ini terutama menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula pada 3 November ini.
"Ada sekolah yang ditutup. Setakat hujung minggu lepas, kira-kira 6,000 orang berdepan dengan influenza.
"Tapi ia bukan di satu tempat. Terdapat sekolah-sekolah yang berbeza," katanya dalam satu sidang media khas KPM di sini.
Dr. Mohd Azam turut menjelaskan, penutupan sekolah dilakukan secara bersasar, berdasarkan tahap penularan serta nasihat PKD, dengan Johor antara negeri yang terlibat.
Beliau menyeru semua institusi pendidikan supaya merujuk garis panduan pengurusan penyakit berjangkit dan melaporkan segera sebarang kes kepada pejabat kesihatan berdekatan.
Pelajar turut disarakan agar pelajar dan warga sekolah memakai pelitup muka, selain mengurangkan aktiviti berkumpulan bagi mengekang penularan virus influenza di sekolah.