KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Pelaksanaan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) dalam sektor kesihatan swasta merupakan langkah penting dalam reformasi pembiayaan kesihatan negara bagi memastikan ketelusan, penyeragaman dan kawalan kos rawatan perubatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjelaskan DRG merupakan satu sistem pengkelasan rawatan yang membolehkan pembayaran bagi perkhidmatan kesihatan dibuat secara lebih seragam dan berasaskan output.
Bukan semata-mata kepada bilangan prosedur atau ujian yang dijalankan.
“Amalan sekarang berdasarkan bayaran mengikut setiap perkhidmatan yang diberikan. Melalui DRG, sistem pembayaran akan lebih seragam dan dapat mengawal inflasi perubatan serta caj berlebihan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan DRG bukan sekadar mengawal kos, tetapi juga menggalakkan peralihan kepada sistem penjagaan kesihatan berasaskan nilai dan hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.