KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dalam masa terdekat bagi membincangkan usaha memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui darat menerusi lintasan Rafah.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan pergerakan lancar pasukan Malaysia bawah Misi Sumud Nusantara, yang bekerjasama dengan rakan serantau menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin yang terkesan akibat kemusnahan berterusan di Gaza.
"Kami menghargai sokongan yang diberikan oleh Presiden Donald Trump, Qatar, Mesir dan semua negara yang menyokong inisiatif keamanan ini. Kami berharap usaha tersebut berjaya kerana ia penting untuk rantau ini dan untuk kemanusiaan.
"Kini peringkat awal sedang berjalan di Sharm El-Sheikh. Saya telah memaklumkan kepada Presiden dalam misi Sumud Nusantara Flotilla bahawa buat masa ini tidak perlu lagi menghantar bantuan melalui laut, sebaliknya melalui darat.
"Dalam beberapa hari lagi, saya berharap dapat berhubung dengan Presiden Abdel Fattah El-Sisi untuk mencadangkan agar kontinjen kami dibenarkan masuk melalui Mesir ke Rafah dan meneruskan bantuan," katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian semasa sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ bersempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Tambah beliau, inisiatif pergerakan Flotila , termasuk Global Sumud Flotilla (GSF), bukan inisiatif peribadinya, sebaliknya lahir daripada penghargaan terhadap komitmen aktivis Malaysia dan antarabangsa yang memimpin misi atas semangat solidariti dan keprihatinan kepada rakyat Palestin.
"Saya bukan pencetus flotila itu, jadi saya tidak boleh mengambil sebarang pujian atasnya," katanya.