KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Pelaksanaan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) ditangguhkan bagi memastikan pelaksanaannya dibuat secara rapi dan berkesan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan ia bukan disebabkan tekanan daripada pengendali hospital swasta.
Pelaksanaan sistem itu memerlukan persediaan menyeluruh meliputi pembangunan kapasiti tenaga kerja, penyediaan Data Raya, serta kerjasama erat antara sektor awam dengan swasta.
“Kita tidak perlu membuat andaian atau bersangka buruk. Penangguhan ini bukan kerana tekanan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan pelaksanaan dilakukan dengan persiapan yang rapi dan kompeten,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, inisiatif DRG merupakan langkah penting dalam reformasi pembiayaan kesihatan negara yang berasaskan nilai.
Pelaksanaannya perlu disokong dengan data rawatan yang mencukupi serta kefahaman mendalam dalam pengurusan kod diagnosis.
“Sebabnya apabila kita melaksanakan satu inisiatif penting kita mesti laksanakan dengan persiapan yang rapi, pelaksanaan yang cermat. Kita urus supaya benar-benar dapat menghasilkan sebagai satu yang sistem kesihatan berasaskan nilai,” jelas beliau.
Sistem DRG sebelum ini diumumkan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini, namun ditangguhkan bagi membolehkan Kementerian Kesihatan meneliti semula keperluan teknikal dan sumber manusia bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan lestari.