MEDAN, 7 Julai– Pembentukan kerjasama penyelidikan, penerbitan akademik dan pengukuhan hubungan antara universiti-komuniti merupakan bidang yang diberi tumpuan oleh delegasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) ke tiga buah universiti di Indonesia.
Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi SMMTC, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ts. Dr. Nadia Diyana Mohd Muhaiyuddin, aspek pembangunan mahasiswa universiti terlibat turut diberi penekanan melalui aktiviti akademik dan tanggungjawab sosial yang dilaksana sepanjang program 5 hari itu.
“Paling penting, lawatan ini membolehkan perbincangan dua hala yang mendalam dibuat dengan Universitas Harapan Medan (UnHar), Universitas Sumatera Utara (USU) dan Universitas Islam Sumatera Utara (UISU) untuk meneroka bidang-bidang kerjasama sesuai seperti penyelidikan bersama, penerbitan akademik, pembangunan modal insan, program mobiliti antarabangsa mahasiswa dan penawaran program pengajian akademik dwiijazah.
"Buat masa ini, semua perancangan akan diteliti terutama melibatkan program mobiliti mahasiswa dan penerbitan bersama. Kesemua universiti juga bersetuju mengadakan program pembangunan akademik melibatkan pensyarah dan mahasiswa menerusi penganjuran program seperti bengkel, perkongsian ilmu pengetahuan dan sebagainya,” jelas Dr. Nadia Diyana.
Hari pertama lawatan menyaksikan delegasi SMMTC melakukan ziarah muhibah ke USU dan mengadakan perbincangan terperinci mengenai bidang kerjasama yang boleh diteroka bersama.
Misi jaringan kerjasama ini meneruskan program hari kedua menerusi penganjuran bengkel penyelidikan kepada pensyarah dan mahasiswa UnHar menerusi pembentangan kertas kerja berkaitan penyelidikan.
Ketua Unit Penyelidikan, Inovasi Multimedia dan Kemanusiaan Digital (MIDH-RU), Prof. Madya Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam membentangkan tajuk “Writing a Bibliometric Analysis Article with Scopus, VOSviewer and AI: An Introduction” diikuti pembentangan bertajuk “Writing a Research Proposal Using AI” oleh Ts. Dr. Nadia Diyana.
Sekitar 30 peserta mengikuti bengkel penyelidikan di UnHar turut berpeluang mendengar pembentangan oleh Ketua Unit Inovasi Multimedia dan Perkhidmatan, Abd. Hadi Abd. Razak yang bertajuk “Generating Research Presentation Using AI”.
Turut dianjurkan di Universitas Harapan Medan adalah sesi bersama Pensyarah Pelawat, Ts. Dr. Azliza Othman yang menyampaikan syarahan bertajuk “AI-Powered Presentation Design: Creating Smart Presentations with AI”.
Majlis penyerahan surat hasrat atau Letter of Intent (LOI) antara UUM dan UnHar turut disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan dan Rektor UnHar, Prof. Dr. Sriadhi yang bertujuan mengukuhkan kerjasama pengantarabangsaan dua universiti.
Prof. Dr. Sriadhi berkata, kerjasama yang dijalinkan ini merupakan satu bentuk usaha strategik institusi pendidikan tinggi dua negara, Malaysia dan Indonesia dalam mengukuhkan jalinan antarabangsa yang memberi impak positif.
Program hari ketiga diteruskan dengan sesi perkongsian berkaitan penyelidikan akademik bersama pensyarah dan mahasiswa UISU di Medan.
Tiga anggota delegasi UUM iaitu Dr. Azizah Che Omar, Dr. Ruziana Mohamad Rasli dan pensyarah kanan Program Multimedia SMMTC, Aeni Zuhana Saidin terlibat dalam pembentangan berkaitan penyelidikan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Program terakhir yang diadakan adalah kempen membersihkan kawasan Kampung Tomok yang terletak di Pulau Samosir yang turut disertai oleh Pengerusi Program Pascasiswazah SMMTC, Ts. Dr. Nassiriah Shaari dan 7 anggota delegasi ke Medan.
Kampung berkenaan terkenal dengan keunikan yang berkait dengan budaya etnik Batak dan salah satu tarikan adalah Patung Si Gale-gale dan makam batu purba Raja Sidabutar serta rumah adat Batak.