fb fb fb fb fb

Misi bantuan banjir tumpu penduduk di kawasan pedalaman 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Misi bantuan banjir agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menumpukan penduduk terjejas di kawasan pedalaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata, jabatan berkenaan melalui Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi sumbangan sebanyak RM200,000 kepada Pertubuhan Jejak Jalanan.

"Misi berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Yayasan Waqaf Malaysia.

"Kesemuanya telah berada di sana untuk membantu. Jadi Pertubuhan Jejak Jalanan akan ke lokasi pedalaman supaya mereka ini tidak terlepas dan mendapat bantuan yg sepatutnya insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan misi kali kedua itu di ibu negara.

Pertubuhan yang diketuai oleh aktivis sosial terkenal, Mohd Azhan Mohd Adnan (Abbe Hae) itu akan menyampaikan sumbangan berkenaan ke kawasan terjejas.

Kali ini, pasukan tersebut ditugaskan untuk mengagihkan bantuan ke enam buah daerah terjejas di kawasan pedalaman di Kelantan.

Sebanyak empat buah lori membawa barang-barang keperluan asas seperti makanan, pakaian, tong gas, toto serta selimut untuk melengkapi bantuan yang telah dibawa oleh 15 buah pacuan empat roda yang telah berada di Kelantan.

"Kali ini kita akan memfokuskan kawasan pedalaman yang tidak dapat menerima bantuan. Jadi dengan sokongan semua pihak fasa kedua ini akan memberi fokus kepada asnaf-asnaf dan kawasan pedalaman," katanya.

Pada masa sama Abbe Hae turut berharap agar lebih ramai sukarelawan turut membantu mengagihkan bantuan.

Pada majlis sama Takaful Malaysia turut menyerahkan bantuan sebanyak RM500,000 kepada Tabung Musa'adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI