KUALA LUMPUR, 17 Disember- Laporan kajian mengenai impak teknologi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau terhadap tenaga serta pasaran kerja di Malaysia menjadi panduan dalam merangka strategi penyediaan tenaga kerja tempatan pada masa hadapan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata ia bagi mendepani cabaran ekonomi abad ke-21, sekali gus persediaan untuk memberi latihan kepada pekerja di sektor terkesan.
Kajian yang dilaksana TalentCorp itu juga memberi tumpuan kemahiran serta pekerjaan baharu yang muncul seiring perkembangan AI.
"TalentCorp menyediakan satu laporan mengenai Impact Of AI Digitalization And Green Economy On The Malaysian Job Market.
"Laporan ini menjadi satu panduan malah kepada pekerja tentang kesan trend abad ke-21 ke atas pasaran kerja kita.
"Adakah kerja-kerja serta peranan pada masa kini akan terjejas pada masa tiga hingga lima tahun akan datang? Semua ini akan memberi input supaya kita boleh merangka strategi latihan, strategi kerjaya, dan pelaburan yang lebih baik," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator, Datuk Setia Salehuddin Saidin di Dewan Negara di sini.