fb fb fb fb fb

Minggu Solidariti Palestin: CUEPACS selar ahli politik mahu guru diambil tindakan

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat/FOTO RTM

AYER KEROH, 31 Oktober- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong manifestasi solidariti penjawat awam yang memberikan sokongan terhadap rakyat Palestin, yang ditindas rejim Zionis.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, nilai kemanusiaan perlu menjadi keutamaan dan pihaknya menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

Beliau turut menyelar tindakan segelintir ahli politik yang mahu tindakan diambil terhadap penjawat awam khususnya guru-guru yang terlibat dalam Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah.

Katanya, program berkenaan disesuaikan berdasarkan  garis panduan yang telah dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

"Janganlah melihat cara pakaian, persembahan atau pun laungan takbir dan sebagainya sebagai suatu ancaman kepada negara.

"Sebaliknya ini adalah simbolik dan cara rakyat negara ini bersolidariti dengan rakyat Palestin yang ketika ini diancam kepupusan etnik yang dilakukan oleh pihak rejim Zionis Israel", katanya pada sidang media selepas Program Jualan Agro Madani@CUEPACS di sini.


Terdahulu Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Minggu Solidariti Palestin bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan, dalam kalangan pelajar.

Beberapa wakil rakyat bagaimanapun telah menyuarakan bantahan terhadap penganjuran minggu kesedaran berkenaan dengan menyatakan sekolah perlu kekal menjadi ruang berkecuali untuk pembelajaran dan pemahaman.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD