KUALA LUMPUR, 22 Disember -Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengambil sebarang tindakan berhubung dakwaan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MINDEF menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang dan akan dijalankan oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan komitmen kementerian terhadap pematuhan undang-undang serta prinsip keadilan.
“MINDEF akan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut atau mengambil tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan atau penghakiman sendiri sehingga siasatan selesai dan dapatan rasmi diumumkan.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, tampil membuat laporan rasmi berhubung dakwaannya terhadap seorang pegawai kanan ATM.
Badrul Hisham hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Beliau mendakwa menerima dokumen forensik secara tanpa nama yang menunjukkan kemasukan wang bulanan berjumlah puluhan ribu ringgit ke akaun yang dikaitkan dengan pegawai tentera berkenaan serta ahli keluarganya.
SPRM sebelum ini memaklumkan siasatan hanya boleh dijalankan berdasarkan laporan rasmi dan bukti yang dikemukakan mengikut prosedur undang-undang.