fb fb fb fb fb

MINDEF teliti laporan PAC, ambil kira syor teruskan LCS

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta semua pemegang taruh akan meneliti laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan Littoral Combat Ship (LCS).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memberi jaminan akan mengambil kira kesemua syor dikemukakan PAC dalam meneruskan projek LCS selepas ini.

Tegas beliau, kementerian telah memberi kerjasama penuh dan sentiasa telus sepanjang prosiding serta proses siasatan oleh pihak PAC.

"Seperti dimaklumkan pada April lalu, kabinet juga sudah bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak OEM dan vendor seterusnya memuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha MINDEF," katanya menerusi kenyataan.

(Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Pertahanan)

Jelas beliau, penubuhan jawatankuasa tersebut bertujuan memantau proses mobilisasi dalam tempoh enam bulan dan melaporkan perkembangan kepada kabinet.

Datuk Seri Hishammuddin turut menegaskan, pihak yang bersalah perlu bertanggungjawab selepas selesai siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut ditekankan, kepentingan LCS sebagai aset yang amat diperlukan demi keselamatan perairan negara, sejajar Program Transformasi Armada '15 to 5' selain demi kepentingan TLDM.

PAC menerusi laporannya mengesyorkan supaya siasatan disegerakan sekaligus mempercepat pendakwaan.

Media Baharu