fb fb fb fb fb

1,246 pelajar MARA lanjutkan pengajian ke luar negara mulai September ini

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Seramai 1,246 pelajar tajaan MARA berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke universiti luar negara secara berperingkat mulai September ini.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pelajar cemerlang dari seluruh negara diberikan tajaan di bawah skim Pinjaman Boleh Ubah di dalam dan luar negara.

"Kita mengadakan sesi pertemuan dengan pelajar-pelajar yang akan berangkat ke luar negara untuk kita beri mereka maklumat dan juga penerangan berhubung cara-cara untuk ke luar negara dan sebagainya. Tujuan kita adalah untuk memastikan mereka fokus belajar di sana selain kita nak memberi nasihat dan peringatan mesra tentang apa yang patut," kata Mahdzir kepada media selepas Majlis Pra-pelepasan Pelajar ke Luar Negara, "Know Before You Go" di ibu negara, hari ini.


(Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata demikian dalam satu sidang media
selepas majlis berkenaan)

Tambahnya, pelajar-pelajar turut menjalani program persiapan diri sebelum berangkat ke luar negara September ini.

Pelajar tajaan MARA, Putri Nur Batrisha meluahkan rasa syukur kerana terpilih dan berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti luar negara.

"Saya rasa amat gembira dan bersyukur dengan peluang yang diberikan ini. Saya akan melanjutkan pengajian dalam aliran sains komputer di Penn State University, Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun kemudian saya akan cuba untuk kerja di sana dan balik ke Malaysia untuk berbakti kepada negara," kata Putri kepada pemberita RTM selepas program berkenaan, hari ini.


(Pelajar tajaan MARA, Putri Nur Batrisha)

Menerusi program ini, Mahdzir berharap pelajar dapat membina semangat dan jati diri yang kuat demi membawa nama baik tanah air.

Media Baharu