fb fb fb fb fb

Jenayah pemerdagangan manusia, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pesalah - Hamzah

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Seramai 73 penjawat awam disiasat atas dakwaan terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia sepanjang tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata daripada jumlah yang ditahan itu, 40 orang merupakan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Daripada jumlah itu, enam orang telah dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lima lagi di bawah Akta Imigresen dan 27 dikenakan tindakan tatatertib manakala dua lagi pegawai telah meletakkan jawatan.

Bagi 33 penjawat awam yang ditahan pula, 13 telah dituduh di mahkamah, 16 telah dibebaskan dan baki empat lagi individu masih dalam siasatan.

Hal itu membuktikan bahawa pihaknya mengambil serius setiap laporan yang diberikan oleh semua pihak dan menegaskan bahawa jenayah pemerdagangan manusia memberikan reputasi buruk serta mencalar imej negara.

"Kita tidak mahu melihat dalam negara ini ada lagi 'modern slavery' kerana ia akan memburukkan imej negara. Ia bermula daripada tanggungjawab majikan seperti contoh jika seorang pekerja itu tidak dibayar gaji maka pekerja tersebut dikategorikan sebagai mangsa, bekerja tanpa menerima imbuhan secara automatik dia telah pun diperdagangkan.

Pekerja tersebut tidak mendapat hak mereka yang sepatutnya," kata Hamzah dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia Tahun 2022 di Rumah Perlindungan Wanita di ibu negara, hari ini.


(Foto FB KDN)

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Media Baharu