KOTA BHARU, 21 April - Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersedia menghantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Timur Tengah untuk membantu menguruskan keselamatan para pelajar Malaysia susulan konflik Iran-Israel.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata ATM sentiasa bersiap siaga jika bantuannya diperlukan.
MINDEF akan berbincang dengan Kementerian Luar dan mendapatkan maklumat berhubung perkembangan semasa situasi di Timur Tengah.
"Kalau ada keperluan permohonan bantuan, MINDEF akan berikan namun buat masa ini, MINDEF tidak menerima sebarang permohonan.
“Kami akan terus berkomunikasi dan bekerjasama termasuk dengan Kementerian Pendidikan Tinggi memandangkan pelajar yang terlibat adalah di bawah kementerian berkenaan," katanya pada Program Jiwa Komuniti MADANI dan Majlis Sambutan Hari Raya MADANI di sini hari ini.
Sementara itu, Adly ketika mengulas mengenai kebajikan veteran ATM berkata terdapat 212,000 ahli yang berpencen dan tidak berpencen di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran dan tidak timbul isu keciciran bantuan kepada mereka.
Beliau berkata menerusi Sistem Vibes 2.0 yang mengemas kini data golongan veteran, pihaknya akan terus membantu mereka menerusi persatuan.
Adly berkata, lebih 27,000 veteran ATM yang tidak berpencen telah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300 sebulan.
Penyaluran bantuan tertakluk kepada kriteria tertentu termasuk miskin tegar dan pendapatan bulanan RM1,169 atau kurang.