fb fb fb fb fb

MINDEF rancang tubuh Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan bagi perolehan aset bernilai tinggi

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Kementerian Pertahanan (MINDEF) merancang untuk menubuhkan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan seperti yang disyorkan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata jawatankuasa itu berperanan menetapkan dasar dan membuat keputusan berkaitan perolehan aset, khususnya aset strategik bernilai tinggi.

Katanya, kementerian juga sentiasa memastikan pematuhan peraturan kewangan semasa dikuatkuasakan sepenuhnya dalam setiap peringkat dan proses perolehan.

(Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz)

"Pihak kementerian juga menetapkan supaya setiap permohonan perolehan aset dan kelengkapan yang baharu perlu diperakukan oleh pihak pengguna sendiri, iaitu sama ada daripada pihak Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlebih dahulu, sebelum sebarang proses perolehan dilaksanakan.

"Seterusnya dikemukakan kepada agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan. Perkara ini adalah merupakan salah satu usaha untuk mencegah dan mengelak sebarang unsur penyelewengan," katanya ketika menjawab pertanyaan wakil Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, di Dewan Rakyat.

Katanya, kajian semula dan kemas kini Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Perolehan Dalaman turut dilakukan, agar segala prosedur mematuhi semua dasar dan peraturan kewangan semasa.

Media Baharu