KUALA LUMPUR, 12 November- Kementerian Pertahanan (MINDEF) komited terus memperkukuh tadbir urus perkhidmatan terutama melibatkan isu rasuah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penambahbaikan itu diyakini akan membawa kepada perubahan institusi agar lebih mampan dan berdaya saing.
"Kementerian Pertahanan komited untuk menyemak dan membuat segala pembaharuan yang bersesuaian bagi memastikan sistem kerja kita tidak lapuk, tidak membuang masa atau membazirkan sumber.
Kita akan berusaha mewujudkan satu ekosistem dan persekitaran yang menyuburkan integriti, yang sifatnya antikorupsi, anticulas dan antikhianat," kata Datuk Seri Khaled, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Perasmian Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azmi Baki
Pada majlis tersebut, sesi lafaz Ikrar Bebas Rasuah diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Sementara itu, beliau turut mengulas lanjut berhubung kes buli pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), pada 22 Oktober lepas.
Tegasnya, beliau tidak akan berkompromi dalam soal disiplin apatah lagi melibatkan kekerasan.
Tambah beliau, kes berkenaan telah selesai disiasat dan hukuman terhadap pegawai kadet terlibat ditentukan, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.