fb fb fb fb fb

Proton Saga akan mula pemasangan tempatan di Mesir pada Disember

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KAHERAH, 12 November- Proton akan memulakan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Mesir bermula Disember 2024.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa identiti baharu dalam kerjasama antara negara.

Tambahnya, usaha sama itu penting untuk memajukan industri tempatan dan kepakaran masing-masing.

"Mula pada Disember, dan ini menunjukkan potensi bukan sahaja untuk keperluan Mesir sebagai perantara untuk eksport di sini, terutamanya di utara Afrika dan Arab," katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas menamatkan lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Mesir hari ini. 

Rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan ini adalah sebanyak 16,000 unit antara tahun ini hingga 2026, dengan anggaran nilai sebanyak RM570 juta.

Sementara itu pusat pemasangan serantau di Giza, Mesir akan menjadi yang pertama untuk model pandu sebelah kiri syarikat itu di luar negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI