fb fb fb fb fb

MINDEF perkenal sistem pantau perolehan aset

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Satu sistem pemantauan kontrak akan dibangunkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memperkukuh proses pemantau dan ketelusan dalam pengurusan perolehan aset serta pelaksanaan projek kementerian.

Jelas Timbalan Menteri berkenaan, Adly Zahari, sistem ini juga akan membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil lebih awal sekiranya berlaku kelewatan, sekali gus memperbaiki kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025.

Laporan berkenaan menegur kelemahan dalam penguatkuasaan terma kontrak, khususnya berkaitan pelaksanaan denda lewat yang ketika ini hanya dikenakan semasa proses permohonan lanjutan masa (EOT).

"Ketika ini, tindakan hanya diambil apabila EOT dipohon namun EOT sepatutnya disertakan dengan dua pilihan, sama ada bersama denda atau tanpa denda, bergantung kepada justifikasi.

"Tapi apa pun, kita perlu lebih tegas agar EOT tidak menjadi alasan untuk mengelak penalti," katanya ketika menggulung perbahasan LKAN 2/2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Adly, sistem pemantauan kontrak yang bakal dibangunkan ini akan membantu pegawai kementerian menilai dan memantau status kontrak secara lebih sistematik.

Beliau turut menafikan dakwaan wujudnya kelemahan dalam penguatkuasaan terma kontrak, sebaliknya menegaskan bahawa pelbagai langkah penambahbaikan sedang giat dilaksanakan bagi menangani isu tersebut secara menyeluruh.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI