KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pencipta kandungan dan pempengaruh digesa lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan mereka di platform digital bagi mengelak penyebaran kandungan yang mengelirukan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata pengaruh di platform digital bukan sekadar bergantung kepada jumlah pengikut sebaliknya mampu memberi kesan kepada kehidupan harian.
“Dalam sekelip mata, kandungan digital boleh tular dan orang ramai selalunya bertindak balas mengikut naluri dan emosi. Pencipta kandungan perlu sedar akan beban yang dibawa oleh setiap perkongsian mereka.
“Apabila simpati dimanipulasi atau bahaya direka tanpa garis sempadan yang jelas, kesannya tersebar dengan pantas. Bila kepercayaan awam tergugat, bukan sahaja kredibiliti kandungan terjejas malah keseluruhan ekosistem industri turut menerima padahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mediha berkata, CMCF menekankan bahawa penceritaan adalah asas kepada kreativiti digital namun harus ada sempadan jelas antara hiburan dan manipulasi.
“Membezakan kandungan daripada kebenaran sangat penting. Apabila kandungan seolah-olah menggambarkan krisis, trauma atau bahaya tanpa konteks atau penzahiran yang jelas, khalayak akan terperangkap dalam ‘realiti’ yang direka,” katanya.
Jadi pengguna lebih bijak
CMCF turut mengajak orang ramai agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam berinteraksi dengan kandungan digital.
“Jangan galakkan ketidakjujuran dengan menyebarkan kandungan yang menggunakan ketakutan atau simpati tanpa asas.
"Lapor dengan bijak melalui saluran laporan di platform bagi kandungan yang menipu, mengelirukan atau membahayakan," katanya.
Tambah beliau, masyarakat juga berhak menuntut kandungan yang bukan sekadar kreatif, tetapi beretika dan bertanggungjawab.