KUALA LUMPUR, 23 Julai - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang melaksanakan langkah penambahbaikan menyeluruh bagi memperkukuh tadbir urus berhubung pengurusan perolehan ladang sawit oleh FELCRA Berhad.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang, berkata langkah tersebut diambil susulan teguran yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025, berkaitan isu perolehan di dua lokasi utama iaitu Ladang Estet Telupid di Sandakan, Sabah serta tiga ladang sawit di Gua Musang, Kelantan iaitu Estet Dabong, Estet Sungai Rawit 2 dan Estet Aring.
"Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk pemerkasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan berkaitan pengurusan perolehan ladang sawit, selain memastikan semua keputusan dibuat secara telus dan teratur," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Datuk Rubiah, FELCRA Berhad kini melaksanakan lapan peringkat utama dalam proses perolehan, melibatkan pelbagai jabatan teknikal dan jawatankuasa berkaitan bagi meneliti aspek kewangan, teknikal, komersial dan perundangan sebelum sesuatu cadangan dibentang kepada Lembaga Pengarah FELCRA Berhad.
Katanya, penemuan dalam laporan audit tersebut sedang diteliti secara serius, dan tindakan pembetulan telah digerakkan secara berperingkat.
Fokus utama kini tertumpu kepada mengenal pasti punca kelemahan, menutup jurang pelaksanaan serta mengelakkan isu sama daripada berulang.
Datuk Rubiah turut menegaskan bahawa penilaian daya maju akan terus menjadi asas wajib dalam semua proses perolehan, khususnya bagi pelaburan berimpak tinggi.
Selain itu, FELCRA juga bersetuju untuk menetapkan tempoh minimum antara kelulusan dan pelaksanaan perjanjian, bagi memastikan penilaian risiko dan semakan menyeluruh dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.