SUBANG, 23 Julai – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menghantar pasukan teknikal khas ke Kuwait bagi menilai pesawat F/A-18 Hornet Tentera Udara Kuwait yang sedang dipertimbangkan pembeliannya sebagai langkah interim memperkukuh keupayaan tempur negara.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pasukan itu akan meneliti status dokumentasi lengkap dan keadaan fizikal pesawat selepas Malaysia menerima kelulusan Third Party Transfer (TPT) daripada Amerika Syarikat.
“Kita telah siapkan pasukan teknikal khas untuk buat penilaian di lokasi. Penilaian ini penting sebelum keputusan akhir dibuat,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Perolehan pesawat terpakai ini sebahagian pelan interim sebelum ketibaan aset baharu, dijangka menambah keupayaan tempur secara cepat dan kos efektif.
“Dengan pengunduran pesawat lama, kita perlukan pengganti dalam masa terdekat.
Hornet ini masih relevan dan sesuai untuk pelbagai operasi taktikal,” jelas beliau.
Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan berkata, keputusan pembelian bergantung kepada laporan pasukan penilai, kos operasi jangka panjang, ketersediaan alat ganti dan latihan.
“Pesawat terpakai perlukan penyelenggaraan yang tepat.
Tiada guna beli banyak tetapi tak mampu selenggara,” katanya.
Beliau menegaskan strategi perolehan disusun berdasarkan pengajaran konflik semasa seperti perang Rusia-Ukraine, ketegangan di Asia Barat dan peperangan berteknologi tinggi.
“Kalau kita tak belajar daripada perang moden, kita akan ketinggalan.
Kita nilai, sesuaikan doktrin supaya kekal relevan dan mampu bertindak balas,” tegasnya.
Dalam pada itu, TUDM juga memfokuskan peningkatan pertahanan udara menerusi perolehan sistem UAV MALE (Medium Altitude Long Endurance) ANKA dari Turkiye.
“Ini kali pertama TUDM memiliki UAV seumpamanya.
ANKA boleh terbang 24 jam, memantau ruang udara dan perairan dengan keupayaan ISR (Intelligence, Surveillance, Reconnaissance) masa nyata,” ujarnya.
Beliau berkata konflik semasa membuktikan dron bukan sekadar alat pengintip tetapi senjata yang boleh melumpuhkan aset bernilai tinggi dengan kos jauh lebih rendah.
“Kita tak boleh ambil mudah. Serangan dron boleh terjadi pada bila-bila masa.
ANKA jadi tulang belakang pemantauan sempadan dan kedaulatan negara,” katanya lagi.