KUALA LUMPUR, 23 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini memperluas penggunaan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) melalui aplikasi mudah alih Sistem Mobile eCOSS, yang mula dilaksanakan secara berperingkat sejak Mei lalu.
Menteri berkenaan, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata aplikasi ini dibangunkan bagi memperkukuh pemantauan ke atas keseluruhan rantaian bekalan minyak masak bersubsidi bermula dari proses pengedaran sehingga ke peringkat pembelian oleh pengguna akhir.
Di bawah program COSS, kerajaan menetapkan had siling kuota sebanyak 60,000 metrik tan sebulan, disasarkan kepada rakyat tempatan khususnya golongan B40, pada harga RM2.50 sekilogram.
"Kita harap dengan adanya aplikasi ini, yang sedang dirintis menerusi Program Jualan Rahmah, kerajaan dapat melaksanakan kawalan lebih berkesan, termasuk menghadkan pembelian hanya kepada warganegara Malaysia melalui padanan data dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri Johor bersetuju menjadi negeri perintis dalam pelaksanaan aplikasi mudah alih berkenaan.
Sistem eCOSS mula dibangunkan pada 2023 dan telah digunakan sepenuhnya mulai tahun lepas, dengan pelaksanaan dasar dan prosedur operasi standard (SOP) program tertakluk kepada jumlah had siling kuota minyak masak paket yang ditetapkan kerajaan.