KUALA LUMPUR, 23 Julai - Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 dilancarkan secara rasmi sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-8, dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Ia turut memperkenalkan ASEAN On Screen, program khas yang mengetengahkan sinema Asia Tenggara dalam usaha memperkukuh kerjasama dan diplomasi budaya serantau.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, inisiatif ini menekankan kepimpinan negara dalam memajukan industri kreatif serantau dan memupuk ekosistem produksi bersama yang kukuh, selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Ini adalah Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 yang pertama kali dianjurkan, bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. Jadi dengan kerjasama MIFFest, kami anjurkan program ini.
“Bermula hari ini hingga 25 Julai, pelbagai dialog, sesi meja bulat, tayangan filem serta perbincangan akan diadakan. Antara hasil yang diharapkan termasuk hala tuju untuk kerjasama produksi bersama ASEAN yang lebih mendalam, seperti disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib,"
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 yang diadakan sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-8 di sini hari ini
“Kami juga berharap dapat menghasilkan syor industri dalam aspek inovasi dan pembangunan infrastruktur ASEAN, serta kerjasama baharu antara agensi Asia dan Eropah.
“Yang paling penting, kami mahu menyemai generasi baharu pembikin filem yang bersedia mengangkat kisah Asia ke peringkat global,” ujarnya lagi.
Sidang kemuncak ini turut menghimpunkan pemain industri, pembikin filem dan pakar dari serata ASEAN dan antarabangsa menerusi sesi panel seperti From Local to Global, Cinematic Frontiers dan Cinema in Flux yang membincangkan cabaran, teknologi dan masa depan industri filem rantau ini.
Antara tokoh ternama yang hadir ialah Lee Dong-Ha (penerbit Train To Busan), Lee Sang-Hoon (Family Secrets) dan Tran Thi Bich Ngoc (The Third Wife), bersama penggiat filem tempatan dan serantau.
Acara malam diteruskan dengan Majlis Koktel ASEAN On Screen yang menyatukan penggiat seni, diplomat dan peneraju industri dalam suasana penuh rangkaian dan kolaborasi.
Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN dan ASEAN On Screen terus menjadi platform strategik dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai penghubung utama sinema Asia Tenggara di peringkat global.