PUTRAJAYA, 22 Julai – Kerajaan akan memastikan aset digital dikawal selia secara ketat bagi menjamin keselamatan dan kestabilan ekosistem digital negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan aset digital itu juga akan memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
“Kerajaan akan terus memastikan bahawa pelaksanaan tokenisasi dan aset digital adalah bersifat inklusif, memberikan manfaat yang menyeluruh kepada rakyat serta dikawal selia secara ketat bagi menjamin keselamatan dan kestabilan ekosistem digital negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan Bilangan 2 Tahun 2025 di Kementerian Digital.
Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan masa depan aset digital dalam pasaran modal negara.
"Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk perkembangan teknologi blockchain, tokenisasi, kriptografi pasca-kuantum serta pelancaran Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI) yang menjadi pemacu utama ekosistem digital negara," katanya.
Mesyuarat itu juga menjadi medan bertukar pandangan mengenai trend pasaran global, potensi aset digital dan jangkaan prestasi masa hadapan berdasarkan perspektif teknikal daripada rakan strategik.