fb fb fb fb fb

Pembayaran zakat potongan gaji terus beri impak positif

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman ditemui media pada Majlis Pelancaran Jom Potong 2025/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Pembayaran zakat melalui potongan gaji menunjukkan keberkesanannya apabila sebanyak Rm130.35 juta kutipan berjaya dikumpul oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP)  pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman, berkata pihaknya kini menyasarkan kutipan RM140 juta bagi tahun ini menerusi Kempen Jom Potong, yang diperluas dengan penglibatan sektor swasta.

"Kita anjurkan kempen yang sedikit berbeza tahun ini, dengan pendekatan yang lebih menarik dan inklusif, untuk menggalakkan kakitangan sektor awam dan swasta tampil membuat potongan zakat secara bulanan," katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha menarik lebih ramai pembayar zakat, PPZ-MAIWP turut menjalin kerjasama strategik bersama Gloria Jean’s Coffees, dengan memperkenalkan kaedah pendaftaran mudah melalui imbasan kod QR di cawangan sekitar Wilayah Persekutuan.

Tambah beliau, pelbagai hadiah menarik turut ditawarkan menerusi cabutan bertuah, termasuk percutian ke luar negara dan peranti elektronik.

Datuk Abdul Hakim Amir ditemui media pada Majlis Pelancaran Jom Potong 2025 di sini, hari ini. 

PPZ-MAIWP optimis bahawa sasaran kutipan tahun ini dapat dicapai melalui pendekatan mesra pengguna, penglibatan pihak swasta, serta sokongan masyarakat dalam menjayakan Kempen Jom Potong.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI