fb fb fb fb fb

MIHAS 2023 catat jualan melebihi RM2.5 bilion

KUALA LUMPUR, 15 September- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 telah melepasi sasaran jualannya iaitu RM2.5 billion setakat semalam.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, ia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berikutan ekonomi dunia berkembang sederhana.

"Untuk tahun lalu kita menyasarkan RM1.9 bilion, tetapi kita capai RM2.4 bilion.

"Bagi 2023, setakat semalam kita telah mencapai RM2.5 bilion dan angka itu semakin mencatatkan pertambahan. Jadi sekiranya diaudit secasa konklusif jumlahnya pasti melebihi RM2.5 bilion," katanya kepada media selepas majlis Anugerah MIHAS 2023 di ibu negara.

Reezal Merican berkata industri halal dilihat sebagai industri yang boleh menyumbang kepada peningkatan eksport Malaysia secara keseluruhan.

Ia turut dibantu oleh Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang menghimpunkan hampir 500 pembeli luar negara di pameran yang dianjurkan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sekali gus menggalakkan pertemuan antara pembeli antarabangsa dan pengeksport Malaysia bagi proses penawaran produk dan perkhidmatan.

Kira-kira 45,000 pengunjung hadir ke MIHAS 2023 setakat semalam, angka itu lebih tinggi daripada sasaran awalnya.

Edisi ke-19 acara tahunan itu turut meraih minat kukuh daripada peserta tempatan dan antarabangsa merentasi pelbagai sektor menerusi penyertaan 1,900 pempamer.

Berlangsung dari 12 September, MIHAS 2023 menampilkan 13 kluster antaranya makanan dan minuman, e-dagang, peruncitan dan francais serta kewangan Islam.

(Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican)

 

Media Baharu