fb fb fb fb fb

Melaka lancar tiga produk baharu tingkat sistem pengangkutan

AYER KEROH, 15 September- Kerajaan Melaka melalui Panorama Melaka melancarkan tiga produk baharu ETA GPS Journey Planner, bayaran tanpa tunai dan 'Bus On Demand' yang dikenali sebagai Kumpool Kasturi bagi memastikan sistem pengangkutan di negeri itu sentiasa efisien dan efektif.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, produk berkenaan dapat membantu dalam penyuraian trafik terutama di kawasan Banda Hilir.

Sebagai permulaan, sebanyak lapan buah bas Kumpool Kasturi digunakan dalam inisiatif itu di kawasan sekitar Bandaraya Melaka dan ia merupakan perkhidmatan bas pengantara.

"Ini merupakan produk terbaru untuk kita memberikan perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat Melaka dan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

"Kita juga akan memperkenal kaedah tanpa tunai dengan kad panorama ini. Pengunjung tidak lagi perlu membawa wang tunai, kad tu boleh ditambah nilai. Ia boleh digunakan untuk menaiki kenderaan atau ke semua kawasan dengan kaedah tanpa tunai," katanya kepada pemberita selepas Program Promosi TMM 2024 di sini.

Ab Rauf berkata aplikasi ETA GPS Journey Planner pula memaparkan maklumat mengenai tempat menarik, restoran dan kawasan di sepanjang laluan selain promosi pengiklanan, pilihan laluan serta corak trafik kepada pengguna.

(Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)

Media Baharu