fb fb fb fb fb

Kes pecah amanah Najib, Irwan ditetapkan Jun, Julai 2024

KUALA LUMPUR, 15 September- Perbicaraan kes pecah amanah Datuk Seri Najib Tun Razak bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion ditetapkan selama 30 hari bermula Jun dan Julai 2024.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon tarikh perbicaraan bagi kes itu ditetapkan pada tahun hadapan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 4 Jun hingga 27 Jun dan 2 Julai hingga 31 Julai 2024.

Pada 24 Oktober 2018, Datuk Seri Najib, 70, dan Tan Sri Mohd Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). 

Kedua-duanya dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

(Mahkamah Kuala Lumpur)

Media Baharu