PUTRAJAYA, 8 April- Platform media sosial, Meta dan TikTok komited terhadap isu berkaitan keselamatan dalam talian khususnya melibatkan kanak-kanak bawah 13 tahun.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata komitmen tersebut telah dicapai menerusi perbincangan yang berlangsung di Cyberjaya hari ini.
Perbincangan turut berkait dengan pemantauan kandungan berunsurkan jenayah seperti judi dalam talian, scam, berita palsu dan 3R (kaum, agama dan institusi raja).
"Selain itu, kedua-dua platform juga diberi makluman mengenai perancangan kerajaan menambah baik undang-undang serta garis panduan operasi platform media sosial di Malaysia", katanya menerusi hantaran di facebook.
Langkah tersebut sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjamin hak bersuara rakyat Malaysia sambil memastikan kegunaan internet yang produktif, harmoni dan selamat untuk semua.