fb fb fb fb fb

Ops Hari Raya: 42 Bas dilarang beroperasi

Pengarah Kanan Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan

KUALA LUMPUR, 8 April - Sebanyak 42 bas dikenakan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan atas pelbagai kesalahan peraturan teknikal menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri 2024 yang dilaksanakan sejak 1 April lepas di seluruh negara.

Pengarah Kanan Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata jumlah itu direkodkan daripada 3,799 bas yang diperiksa di 54 depoh bas dan 28 terminal bas.

Beliau berkata, enam daripada 244 pemandu bas juga gagal dalam saringan ujian air kencing.

"JPJ akan mengambil tindakan tegas di mana jika didapati positif dadah ini di mana tindakan untuk membatalkan lesen pemandu-pemandu ini akan dikenakan," katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan di Terminal Bersepadu Selatan, di sini.

Dalam pada itu, Lokman berkata sebanyak 84 penyamaran oleh pegawai JPJ di dalam bas telah dilakukan dengan merekodkan 62 kes pelbagai kesalahan pemanduan pemandu bas.

Katanya, penyamaran pegawai JPJ itu akan diteruskan sehingga 20 April ini selain penguatkuasaan dan tindakan tegas yang akan terus dilaksanakan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN