PUTRAJAYA, 26 Julai- Malaysia bersedia menjadi tuan rumah Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina ke-8 yang dijangka diadakan, pada Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesediaan itu merupakan manifestasi hubungan dua hala yang sangat baik antara Malaysia dan Filipina.
Jelasnya, beberapa instrumen dijangka ditandatangani bagi meningkatkan kerjasama dua hala kedua-dua negara.
"Dan mengenai isu Mesyuarat Suruhanjaya Bersama yang akan diadakan pada penghujung tahun ini, kita akan memanjangkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipersetujui secara bersama bagi mempercepatkan proses dan mencari jalan penyelesaian.
"Dan diharapkan ia akan dapat ditandatangani sebelum atau semasa mesyuarat suruhanjaya," katanya dalam sidang bersama Presiden Filipina, di sini hari ini.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Sementara itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr optimis Mesyuarat Suruhanjaya Bersama itu merupakan platform terbaik bagi membincangkan isu yang menjadi keutamaan kedua-dua negara secara lebih terperinci.
"Untuk meneroka sinergi bagi kerjasama masa hadapan, kami bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina yang akan datang, dalam masa terdekat pada bulan Oktober.
"Ia adalah platform untuk membincangkan isu yang menjadi keutamaan secara terperinci, terutamanya dalam bidang jenayah transnasional, pertanian, industri halal, perbankan Islam dan ekonomi digital," katanya.
(Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr)