fb fb fb fb fb

Mesyuarat (NSC) bincang Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025

PUTRAJAYA, 9 April – Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri kerana ia selari dengan Revolusi Industri 4.0 seperti pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh lima tahun industri itu dijangka menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) selain mencipta banyak peluang pekerjaan.

“Dalam tempoh lima tahun pelan itu akan memberi banyak faedah sosioekonomi kepada negara termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan merangkumi pekerja berkemahiran tinggi (5,968), separuh mahir (24,755), dan kurang mahir sebanyak 2,668 orang,” kata Ismail Sabri menerusi satu kenyataan.

Tambahnya pembangunan produk nanoteknologi seperti vaksin, ubat terapi kanser, pranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal mempunyai permintaan tinggi di pasaran global sekali gus melonjakkan ekonomi negara.

Perkara itu antara yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang pertama bagi tahun ini semalam.

Perdana Menteri berkata mesyuarat itu turut membincangkan pelbagai usaha kerajaan bagi merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.

Antaranya penawaran (modal insan) dan permintaan (pasaran pekerjaan) dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk meningkatkan daya saing STI negara.

“Kerajaan memandang serius jumlah pelajar-pelajar dalam bidang STEM yang ketika ini adalah pada kadar 47 peratus, dan sains tulen sebanyak 19 peratus. Minat para pelajar dalam bidang STEM perlu dipertingkatkan dan Kementerian Pendidikan diarah menerajui Hala Tuju STEM,” menurut kenyataan itu.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara)

 

Selain itu, perbincangan turut menyentuh tentang kepentingan untuk mengetengahkan STI di peringkat komuniti melalui Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).

Menurut Perdana Menteri, usaha MOSTI itu adalah satu langkah yang baik dalam memperkasakan inovasi di peringkat akar umbi selain mampu menganjakkan pengagihan ekonomi yang inklusif kepada semua peringkat pendapatan terutamanya B40 dan M40 dengan memfokuskan kepada pengaplikasian teknologi tempatan di peringkat akar umbi.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan menerusi penubuhan Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) juga telah mempergiatkan pengkomersialan hasil inovasi tempatan yang berpaksikan kepada kemampanan sosioekonomi negara.

Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju menambah baik struktur tadbir urus inisiatif NTIS dengan Jawatankuasa Task Force NTIS diubah nama kepada Jawatankuasa Pemandu NTIS; Majlis NTIS dimansuhkan dan digantikan pelaporan kepada NSC. Pelaporan NTIS dijadikan sebagai agenda tetap dalam mesyuarat NSC bagi mengurangkan pertindihan dengan majlis sedia ada memandangkan NSC turut dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

Mesyuarat semalam juga bersetuju supaya Jawatankuasa Task Force NTIS yang baharu diwujudkan, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI.

Selain itu hubung kait antara kesihatan manusia dan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim, turut diambil maklum dalam mesyuarat itu.

Kata Perdana Menteri, pandemik COVID-19 yang merupakan salah satu penyakit zoonotik telah mengakibatkan 6.11 juta kematian di dunia dan terdapat penyakit-penyakit zoonotik lain seperti denggi dan zika yang juga berpunca daripada status keadaan alam semula jadi yang semakin terancam.

“Bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu ini secara holistik, mesyuarat juga bersetuju agar MOSTI menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama daripada semua pemegang taruh untuk menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN)”, tambah Perdana Menteri.

Media Baharu