fb fb fb fb fb

Permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia mulai 15 April - Annuar

KOTA BHARU, 9 April - Permohonan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi pelajar institut pengajian tinggi (IPT) daripada golongan B40 akan mula dibuka 15 April ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata seramai 400,000 pelajar seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada program itu.

Mereka dikenal pasti berdasarkan data yang diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Pelajar yang layak boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peranti yang akan disampaikan di kampus pengajian.

Sekiranya mereka berada di rumah, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian.

(Annuar Musa di temui media selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan di Kampung Berangan, Batu 8 Kadok, Kota Bharu, Kelantan)

Bagi pelajar pengajian jarak jauh (PJJ) pula, mereka hanya perlu berdaftar dengan pihak universiti dan mempunyai nombor matrik untuk layak menerima pakej peranti berkualiti tinggi tersebut.

"Kalau dia masukkan nombor kad pengenalan atau nombor matrik mereka akan dipaparkan kalau mereka dah sememangnya B40. Tetapi saya juga tidak menafikan mungkin ada yang tercicir, dia masih juga boleh memohon dan kita anggapkan itu kes-kes rayuan cuma mungkin kumpulan yang pertama kita sampaikan dulu kepada yang tidak ada masalah.

"Dan kemudian dalam kes kategori rayuan tadi kita boleh sampaikan dalam pengagihan kedua bergantung pada jumlah peranti yang sampai," kata Annuar kepada media selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan di Kampung Berangan, Batu 8 Kadok, di sini hari ini.

Beliau berkata peranti tersebut akan diagihkan dalam dua sesi pada minggu kedua Jun depan.

Sesi pertama melibatkan 60 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima dengan keutamaan diberikan kepada semua pemohon yang mempunyai data lengkap.

Manakala bagi sesi kedua pula melibatkan kes-kes rayuan tetapi tidak lewat 60 hari daripada tarikh sesi pertama diselesaikan.

Menurutnya, peranti yang diagihkan nanti akan mempunyai waranti, jika berlaku kerosakan mereka boleh mengembalikan untuk diganti baharu dan diberi set-set gantian.

Peranti berkenaan boleh diguna pakai selagi mereka berada di pusat-pusat pengajian dan perlu diserah kembali kepada pusat pengajian setelah tamat belajar.

Perincian lanjut mengenai program akan dimaklumkan selepas 15 April ini dan tawaran permohonan hanya dibuat dalam laman web atau portal rasmi milik Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Media Baharu